Untuk perkongsian bersama wanita2. mungkin yang mengalami benda yang sama.
Pertama kali terdengar masalah sebegini..Allah yang lebih tahu.
LAUREN WILLIAMS, 33,
tertanya-tanya mengapa dia sering mengalami kekejangan teruk dan aliran
haid berlebihan setiap kali datang bulan.
Malah, pendarahan haid yang dialami gadis itu berlarutan sehingga 21
hari berbeza dengan wanita normal yang lazimnya mengalami menstruasi
selama seminggu.
Cerita Williams, semasa mula-mula didatangi haid yang banyak, dia
menganggap hal itu hanya perkara biasa dan dilalui setiap gadis remaja
saat pertama kali menempuh proses akil baligh. Bagaimanapun, perkara itu
berlarutan sehingga dia mencecah usia 24 tahun.
Bimbang pendarahan itu akan menjejaskan kesihatannya dalam jangka
masa panjang, Williams mendapatkan rawatan daripada pakar sakit puan dan
menjalani ujian pap smear untuk mengetahui punca sebenar.
Wanita dari Chingford, London, England itu kemudian dimaklumkan dia mempunyai dua faraj, dua serviks dan dua rahim.
"Saya benar-benar terkejut kerana sebelum ini tidak pernah menyedari
hal ini, malah, doktor yang merawat juga belum pernah bertemu pesakit
dengan sindrom ganjil ini," katanya seperti dipetik portal Daily Mail.
Williams yang masih bujang memberitahu, ekoran pendarahan berlebihan
itu, dia lebih selesa menggunakan tuala wanita yang tebal dan panjang
berbanding tampon setiap kali didatangi haid.
Pembentukan uterus
Turut menerima nasib yang sama adalah seorang wanita di High Wycombe, Buckinghamshire, England.
Wanita itu, Hazel Jones, 29, memberitahu, dia turut mengalami
senggugut teruk dan pendarahan yang sangat banyak setiap kali
menstruasi.
"Pada awalnya, saya fikir saya mungkin terkena jangkitan pada pundi
kencing atau menghidap sistisis, namun selepas dirujuk kepada doktor
pakar, saya diberitahu mengenai penyakit ganjil ini," katanya.
Sistisis adalah keradangan pada pundi kencing yang teruk sehingga
mengakibatkan pendarahan. Ia berpunca daripada jangkitan bakteria usus,
E.coli.
Bertutur lanjut, Jones turut mengakui adakalanya dia berasa kurang selesa ketika melakukan hubungan intim.
"Saya hanya fikir ketidakselesaan itu mungkin kerana saya mempunyai saluran vagina yang pendek," ujarnya.
Williams dan Jones mengalami sindrom didelphys uterus iaitu
keganjilan pada sistem reproduksi dengan pembentukan dua faraj, dua
serviks dan dua uterus.
Menurut pakar sakit puan di sebuah klinik swasta di Gloucestershire,
England, Dr. Dawn Harper, uterus terbentuk ketika proses embriogenesis
menerusi pelakuran duktus paramesonefros.
Katanya, dua tiub itu akan melakur dan dinding atau membran septum
yang memisahkan dua tisu tersebut berpecah lalu membentuk satu uterus.
Kelahiran pramatang
"Terdapat beberapa kes kecacatan rahim seperti sindrom arcuate
uterus, septate uterus dan bicornuate uterus. Dianggarkan satu dalam
3,000 wanita menghidap penyakit ini.
"Bagaimanapun, dalam kes Williams dan Jones, sindrom yang dialami
lebih merumitkan kerana mereka mempunyai dua uterus berasingan yang
dipisahkan dengan dinding membran lain," jelasnya.
Mengulas lanjut, Harper berkata, buat masa ini, masih tiada rawatan dari segi ubat-ubatan untuk mengubati penyakit itu.
Bagaimanapun, pembedahan untuk membuang salah satu rahim boleh dijalankan atas permintaan pesakit.
Menyentuh soal kehamilan, Harper memberitahu, pesakit dengan dua
rahim memerlukan perhatian khusus sepanjang tempoh mengandung
memandangkan mereka cenderung untuk mengalami keguguran dan kelahiran
pramatang.
Pun begitu, peluang untuk mendapatkan zuriat masih cerah dan mereka
berpotensi untuk mengalami kehamilan secara serentak pada kedua-dua
bahagian rahim atau salah satu daripadanya.
Bagaimanapun, katanya, keadaan uterus yang lebih kecil berbanding
wanita normal memerlukan pesakit melakukan kelahiran secara songsang
iaitu kaki bayi perlu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum kepalanya.
"Sekiranya prosedur itu gagal dijalankan, mereka perlu menjalani
pembedahan caesarean untuk mengeluarkan bayi daripada uterus," jelas
Harper.
Tambahnya, pesakit juga perlu menjalankan dua ujian pap smear untuk kedua-dua faraj bagi mengesan kanser serviks.
No comments:
Post a Comment