1

1

Wednesday, October 20, 2010

CINTA

Kalimah cinta sering diucapkan, namun
keseringan kita menyebut cinta belum bermakna kita
sudah mempunyai pengertian yang tepat mengenainya.
Akibatnya, cinta sering disalahtafsirkan. Salah
tafsiran mendorong kepada salah tindakan. Daripada
sesuatu yang mahal dan murni sifatnya, cinta bertukar
menjadi salah satu yang termurah dan tercemar.

Kerap kali, cinta menjadi sesuatu yang pedih,
jijik dan mengecewakan. Kecewa bercinta, 'cinta
monyet' dan sebagainya sudah tidak asing lagi
dikalangan remaja. Ramai yang telah menderita kerana
cinta. Lalu berderetanlah korban cinta sepanjang zaman
seperti Romeo dan Juliet, Uda dan Dara dan Anthony dan
Cleopatra.

Sebelum mengaitkan cinta dan perkahwinan,
adalah lebih baik jika diperjelaskan falsafah cinta
itu terlebih dahulu. Ini bukanlah persoalan ilmiah
yang menurut perahan akal tahap sarjana, tetapi
perbahasan mudah yang melibatkan fitrah dan rasa.
Justeru cinta adalah fitrah yang dikurniakan Tuhan
kepada setiap manusia.

Ingin menyintai dan dicintai adalah keperluan
semulajadi yang perlu diisi. Hati memerlukan cinta,
sama seperti jasad memerlukan makanan. Anehnya,apa
yang kita rasai tidak semestinya kita fahami. Lalu
apakah sebenarnya cinta itu?
Cinta dan Penciptanya

Untuk mengetahui segala-galanya tentang cinta,
manusia perlu merujuk kepada pencipta cinta itu
sendiri yakni Allah SWT. Tuhan menciptakan cinta, maka
Dialah yang Maha Mengetahui sifat dan rahsianya. Cinta
itu indah kerana diciptakan oleh Allah Yang Maha
Indah. Sabda Rasulullah SAW," Allah itu indah dan
cintakan keindahan" Bukan saja indah, cinta yang
diciptakan Allah itu bertujuan untuk menyelamatkan,
mententeramkan dan membahagiakan manusia. Tidak kira
sama ada dalam komunikasi antara manusia dengan Tuhan.

Allah SWT tidak mengurniakan rasa cinta
semata-mata, tetapi Allah juga mengurniakan 'hukum'
cinta yang mesti dipatuhi demi mencapai maksud
penciptaannya. Dengan 'hukum' itu, Allah mengatur agar
cinta sentiasa selamat dan menyelamatkan. Begitulah
cinta dalam Islam, ia mempunyai kaedah dan peraturan
demi menjaga kemurnian dan kesuciannya. Selagi manusia
berpegang kepada peraturan ini, selagi itulah cinta
terpelihara dalam sifat fitrahnya yang asal, yakni
murni, indah dan mententeramkan.

Tidak kira di mana dan dalam keadaan apa
sekalipun, selagi cinta mematuhi hukum Allah, selagi
itulah ia indah. Inilah faktor penentu keindahan cinta
sama ada sebelum atau selepas perkahwinan. Dalam dua
keadaan, yang mana satu lebih memudahkan hukum cinta
itu dipatuhi? Sebelum atau selepas perkahwinan?

Untuk menjawabnya, kita terpaksa merujuk
kepada kenyataan awal semula, yakni cinta adalah
fitrah dari Allah yang ada peraturannya. Untuk
mendapat cinta yang sejati dan berkekalan, peraturan
ini mesti dipatuhi.

Peraturan pertama yang perlu dipatuhi ialah
cinta itu mesti dibina atas dasar cinta Allah.
Cintalah sesiapa pun tetapi mestilah kerana Allah.
Namun meletakkan cinta hanya untuk dan kerana Allah
tidaklah menghalang meletakkan cinta kepada yang lain.
Islam membenarkan seorang ibu mencintai anaknya,
seorang rakyat menyintai pemimpinnya, seorang isteri
menyintai suaminya, malah seorang wanita terhadap
lelaki dan sebaliknya... tetapi dengan syarat cinta
itu mestilah diletakkan atas dasar cinta Allah.
Apa tandanya kita menyintai seseorang atas dasar
cintakan Allah?

Pertama, mestilah dipastikan kecintaan itu
tidak melebihi cinta kepada Allah. Kita akan sentiasa
mendahulukan kehendak kecintaan utama kita (Allah)
daripada kehendak kecintaan-kecintaan kita yang lain.
Pertemuan antara cinta Allah dan kecintaan kepada yang
lain tidak seharusnya berlaku sekiranya cinta Allah
mendapat keutamaan tertinggi dan cinta-cinta lain
diatur serta dirujukkan kepada Allah.

Kedua, cinta itu mestilah tidak melanggar
batas-batas syariat. Jangan cinta menyebabkan kita
berdosa kerana tidak melaksanakan apa yang
diperintahkanNya dan melanggar apa yang dilarangNya.
Apabila dua syarat ini dilanggar, maka cinta tidak
akan murni dan berkekalan lagi. Inilah punca patahnya
cinta selepas perkahwinan. Tetapi, sekiranya dua hukum
cinta dipatuhi, maka disinilah pula letaknya keindahan
cinta selepas perkahwinan.

No comments: